Home | Sitemap | Contact Us | Login      
   

MPS Announcements, Articles & News alerts

Title: Hari Raya Eidul Fitri Message from the President of MPS
Date: 13-Jun-2018
Category: Others

PESANAN HARI RAYA EIDUL FITRI 1439H DARIPADA
PRESIDEN PERSATUAN FARMASI MALAYSIA

Menjelang perayaan Eidul Fitri yang mulia ini, setiap insan pastinya akan mengambil kesempatan untuk mengungkapkan ucapan selamat serta memohon maaf di atas segala kesilapan yang dilakukan. Justeru itu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri serta Maaf Zahir Batin kepada semua ahli-ahli farmasi di Malaysia bagi pihak Persatuan Farmasi Malaysia.

Semoga ucapan ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama insan dan ahli-ahli farmasi dalam menyambut Hari Raya Eidilfitri dengan penuh kemeriahan, kesyukuran, dan keikhlasan.

Bulan Ramadhan Al-Mubarak adalah satu bulan yang mulia bagi umat Islam. Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, kita juga perlu mengelak segala bentuk perlakuan serta perkara-perkara yang dilarang oleh ugama Islam. Kita digalakkan bersikap sederhana dalam apa jua tindak-tanduk kita dan dalam masa yang sama menanam perasaan kasih sayang yang tulen sesama manusia. Semoga perkara-perkara yang baik dan tulus ini dapat terus dilakukan untuk 11 bulan yang akan datang.

Dalam suasana di bawah kerajaan baru ini, sewajarnya kita menyambut perayaan Hari Raya Eidul Fitri ini dalam serba kesederhanaan tanpa melakukan apa jua bentuk pembaziran demi membantu kerajaan baru dalam melonjakkan ekonomi negara. Namun begitu, ia perlu diraikan dengan berkunjung ke rumah kaum keluarga, sanak saudara, jiran tertangga dan rakan taulan untuk mengeratkan perhubungan silatulrahim antara satu sama lain. Berkasih sayang antara manusia adalah satu fitrah bagi manusia.

Semasa perayaan ini, kita hendaklah mengamalkan semangat Malaysia baharu dengan saling bermaaf-maafan serta kunjung-mengunjungi sesama mereka untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim. Konsep rumah terbuka yang dilakukan adalah sesuatu yang paling unik dalam sambutan Hari Raya Eidil Fitri di Malaysia.

Dalam mensyukuri perayaan ini kita tidak semestinya memerlukan satu perbelanjaan yang besar sehingga menjurus kepada amalan pemborosan dan pembaziran melalui penyediaan makanan dan kuih-muih yang pelbagai sehingga memberi kesan negatif terhadap kesihatan diri kita. Sebagai ahli farmasi, kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan makan minum dan senaman yang seimbang supaya badan kita selalu sihat.

Semasa musim perayaan ini, saya berharap agar kita senantiasa berhati-hati semasa memandu di jalan raya semasa melakukan ziarah atau melancong. “Pandu cermat, jiwa selamat. Ingatlah insan yang tersayang”.

Akhir kata, teruskan usaha murni kita untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pesakit dan pelanggan kita demi kesejahteraan mereka serta memartbatkan profesion kita di Malaysia.

Tangan dihulur maaf dipinta
Erat hubungan sesama kita
Semoga gembira di hari yang mulia
Hidup kita senantiasa sejahtera

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin

Sekian, terima kasih

Salam Syawal 1439H

AMRAHI BUANG
Presiden
Persatuan Farmasi Malaysia

 



[ Back ] [ Print Friendly ]





Copyright © 2002 - 2018 Malaysian Pharmaceutical Society. All Rights Reserved.   Web Management

Powered by CORNERSTONE CONTENT MANAGEMENT SYSTEM